Sedikit pandangan perundangan saya mengenai isu Madani Mart dan menjawab kepada artikel yang dinyatakan dalam Berita Harian dalam tajuk “MADANI Mart tak kutip royalti, bukan francais – Fuziah”

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/04/1530982/madani-mart-tak-kutip-royalti-bukan-francais-fuziah?fbclid=IwY2xjawRC_Q5leHRuA2FlbQIxMQBzcnRjBmFwcF9pZBAyMjIwMzkxNzg4MjAwODkyAAEe6PZGm4_vTA-ceIcyOHJu4eZF5SWLdvGhZZ0nEckS_5_E06TIIrx_g1-nSas_aem_RNnWubszSZUr8oGo2pXEow

Pandangan undang-undang saya pada kenyataan “tidak ada royalti, maka ia bukan francais” adalah terlalu sempit dari sudut Akta Francais 1998. Seksyen 4 tidak menghadkan balasan hanya kepada “royalti”. Bahasa Akta adalah jauh lebih luas, iaitu francaisi boleh dikehendaki membayar “fi atau bentuk balasan yang lain”, dan “perjanjian francais” pula merujuk kepada perjanjian yang dibuat “bagi apa-apa bentuk balasan.” Maka, dari sudut statutori, fokusnya bukan pada label “royalti”, tetapi pada kewujudan apa-apa bentuk balasan.

Oleh yang demikian saya petik di sini seksyen 4 elemen-elemen francais untuk tatapan semua:

“francais” ertinya kontrak atau perjanjian, sama ada secara nyata atau tersirat, sama ada secara lisan atau bertulis, antara dua orang atau lebih yang dengannya—

(a) francaisor memberi francaisi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan oleh francaisor;

(b) francaisor memberi francaisi hak untuk menggunakan cap, atau rahsia dagangan, atau apa-apa maklumat sulit atau harta intelektual, yang dipunyai oleh francaisor atau

berhubungan dengan francaisor, dan termasuk keadaan apabila francaisor, yang merupakan pengguna berdaftar, atau dilesenkan oleh orang lain untuk menggunakan, apa-apa harta intelektual, memberikan apa-apa hak yang dimilikinya untuk membenarkan francaisi menggunakan harta intelektual itu;

(c) francaisor memiliki hak untuk melaksanakan kawalan berterusan sepanjang tempoh francais terhadap pengendalian perniagaan francaisi mengikut system francais; dan

(d) (Dipotong oleh Akta A1442).

(e) sebagai balasan kepada pemberian hak-hak itu, francaisi dikehendaki membayar fi atau bentuk balasan yang lain.

(f) (Dipotong oleh Akta A1442).

Laporan semasa menyebut kos permulaan termasuk fi pelesenan sekali bayar RM30,000 dan juga fi pembaharuan lesen tahunan RM5,000. Itu sendiri menunjukkan bahawa isu di bawah seksyen 4 bukan boleh ditolak begitu sahaja hanya kerana bayaran itu tidak dinamakan sebagai “royalti”.

Lebih penting lagi, laporan media juga memetik bahawa Yayasan MADANI mengurus ekosistem perniagaan termasuk latihan, sistem, penetapan harga dan analisis runcit berasaskan AI. Jika benar begitu, maka persoalan undang-undang yang timbul bukan setakat soal bayaran, tetapi juga soal sistem perniagaan, hak guna jenama atau konsep, dan kawalan berterusan ke atas operasi — iaitu elemen-elemen yang sangat dekat dengan takrif francais di bawah seksyen 4.

Sebab itu, pada pandangan saya, membuang perkataan fi atau fi perkhidmatan, “management fee dan renewal fee sahaja belum tentu menjadi jalan keluar. Malah, mengekalkan licensing fee” pun masih boleh dipersoalkan, kerana “licensing fee” itu sendiri boleh dihujahkan sebagai fi atau bentuk balasan yang lain. Undang-undang akan melihat kepada substans, bukan semata-mata nama yang diberikan pada bayaran itu. Melainkan Licensing Fee itu merupakan ONE-OFF untuk kegunaan brand Madani Mart.

Mahkamah Malaysia sendiri telah menunjukkan pendekatan itu. Dalam kes Dr H K Fong Brainbuilder Pte Ltd v SG-Maths Sdn Bhd, Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa suatu perjanjian yang dilabel sebagai lesen tetap boleh jatuh dalam lingkungan Akta Francais apabila elemen-elemen seksyen 4 dipenuhi. Jadi, menamakan sesuatu itu sebagai “lesen” tidak semestinya menyelamatkannya jika dari segi praktikal ia berfungsi sebagai francais.

Pada saya, escape route yang lebih sebenar bukan sekadar menukar nama bayaran atau membuang beberapa jenis fi. Escape route yang lebih bersih ialah memastikan model itu benar-benar menjadi lesen tulen, iaitu sekadar pemberian hak IP atau cap dagangan secara terhad, tanpa pemindahan format atau sistem perniagaan francais, tanpa kawalan operasi yang berterusan, dan tanpa struktur balasan yang berkait rapat dengan hak menjalankan model perniagaan tersebut. Jika tidak, risikonya tetap ada.

Sudah tentu, saya belum meneliti perjanjian sebenar, manual operasi, SOP, dan struktur dokumentasi Madani Mart. Jadi saya tidak membuat kesimpulan muktamad bahawa ia pasti sebuah francais. Tetapi saya berani katakan bahawa hujah “tiada royalti, maka bukan francais” adalah hujah yang tidak memadai di sisi undang-undang.

Ringkasnya:
Bukan soal bayaran itu dipanggil royalti, lesen, servis atau pengurusan. Soalnya ialah sama ada pada hakikatnya wujud sistem perniagaan, hak guna jenama atau IP, kawalan berterusan, dan apa-apa bentuk balasan. Jika ya, maka Akta Francais 1998 adalah terpakai.